PM perlu maklum pada rakyat autoriti MPN – Puad

PM perlu maklum pada rakyat autoriti MPN – Puad

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata sewajarnya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kepada rakyat apakah autoriti, bidang tugas dan fungsi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Menurutnya, penjelasan berkenaan MPN penting supaya tidak berlaku pertindihan, gerak kerja terkawal dan mudah memantau keberkesanan MPN.

“(Tan Sri) Muhyiddin Yassin dakwa dia ada kuasa penuh untuk laksana terus dasar yang dipersetujui MPN kecuali kewangan. Menurutnya, Perdana Menteri bersetuju.

“Selain autoriti, bidang tugas MPN perlu jelas. Jangan nanti MPN akan ‘bulldoze’ (merosak) semua dan wujud konflik dengan kementerian lain apatah lagi bidang tugas Perdana Menteri,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mohd Puad berkata, isu berhubung ‘kepercayaan’ terhadap MPN tetap wujud.

Ia kerana, katanya, dahulu ketika Muhyiddin masih bergelar Perdana Menteri beliau juga adalah Pengerusi MPN.

“Dulu, masa Muhyiddin PM (Perdana Menteri), dia Pengerusi MPN. MPN gagal. Sekarang PM orang lain. Semoga MPN efektif dan bukan untuk muslihat lain,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri memberi kuasa penuh kepada MPN untuk terus melaksanakan setiap dasarnya dalam usaha memulihkan negara susulan penularan Covid-19.

Pengerusi MPN, Muhyiddin Yassin, berkata Ismail Sabri juga bersetuju untuk setiap dasar dipersetujui MPN dilaksanakan terus. – Malaysiapost

Komen