Sesuatu yang ‘lebih besar’ akan berlaku hari ini – Firdaus Wong

Sesuatu yang ‘lebih besar’ akan berlaku hari ini – Firdaus Wong

PENDAKWAH bebas, Firdaus Wong Wai Hung memberi bayangan bahawa ‘sesuatu yang lebih besar’ akan berlaku hari ini. 

Kenyataan itu dibuat Firdaus Wong menerusi akaun Telegramnya malam tadi, dipercayai mempunyai kaitan dengan pendedahannya berhubung bukti perbualan lucah didakwa membabitkan seorang pendakwah terkenal semalam.

Malah, dalam hantaran sama, Firdaus Wong berkata, semua mangsa jenayah seksual berkenaan mengakui tidak gentar dengan sebarang ugutan selain lebih berani berbuat demikian.

“Mangsa-mangsa semakin bersemangat untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. In Sha Allah, sesuatu yang lebih besar akan berlaku esok (hari ini)!!! In Sha Allah,” tulisnya dalam Telegram berkenaan.

Dalam pada itu, Firdaus Wong tanpa merjuk mana-mana individu menyifatkan bahawa ‘kabel’ paling kuat adalah ‘kabel’ dengan Allah.

“Kabel paling kuat ialah kabel dengan Allah.  Mangsa-mangsa memberitahu kepada saya mereka tidak gentar dengan ugutan. Buatlah apa pun. Mereka tidak gentar,” katanya.

Dalam pada itu, Firdaus Wong berkata, beliau  terpaksa mengehadkan komen dan memadam ruangan chat di Telegramnya kerana mendakwa ia telah lari daripada matlamat asal.

“Saya mengambil keputusan untuk ‘delete’ chat telegram channel saya kerana ianya telah lari dari objektif asal.

“Kita ingin Amar makruf nahi mungkar tetapi bukan tetapi cara yang mungkar. 

“Kita Amar makruf nahi mungkar untuk mencari keredhaan Allah bukan di sebalik kemurkaan Allah,” katanya.

Semalam media melaporkan, Firdaus Wong buat pertama kalinya menerusi platform media sosialnya tampil mendedahkan bukti seorang mangsa serangan seksual individu yang didakwa seorang pendakwah terkenal.

Pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM) menerusi siaran Telegramnya itu juga, mendedahkan rakaman suara dan tangkap layar perbualan lucah yang dikatakan milik pendakwah popular berkenaan.

Menurut Firdaus Wong, mangsa berkenaan telah menghantar tangkap layar kiriman WhatsApp dan Instagram kepadanya meminta untuk berkongsi bukti tersebut untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat. – Malaysiapost

Komen