SPRM umpama pagar reput – Mapim

SPRM umpama pagar reput – Mapim

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyifatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini umpama ‘pagar reput’ yang mudah dibolosi.

Kenyataan itu susulan kes tiga pegawai SPRM yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata sekiranya kes itu terbukti berlaku, SPRM kini bukan setakat ‘harap pegar, pegar makan padi’ tetapi sudah sampai ke peringkat serius.

“Berita mengenai beberapa pegawai kanan SPRM dikatakan melesapkan barang kes wang tunai USD6 juta dalam simpanan SPRM bukan sahaja mengejutkan malah mencemar imej SPRM.

“Jika terbukti berlaku, ini bukan setakat harap pegar, pegar makan padi tetapi sudah sampai ke peringkat pagar yang ada sudah reput dan mudah dibolos dari luar dan dalam kawasan padi itu sendiri,”katanya kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Azmi berkata, pihaknya menggesa badan siasatan khas di luar SPRM untuk mengendalikan kes berkenaan bagi memastikan tiada yang terselindung daripada pendakwaan jika didapati bersalah.

Beliau juga berkata, ia tidak boleh dikompromi jika yang diberi amanah membanteras rasuah dalam sebuah agensi khas pencegahan rasuah tiba-tiba dianggotai oleh mereka yang mengkhianati amanah ditugaskan ke atas mereka.

“Dengan wujudnya kepincangan dalam SPRM sendiri, tidak ada lagi yang boleh diharapkan untuk membersihkan Malaysia dari penyakit rasuah yang boleh menjahanamkan negara ini,” katanya.

Isnin lalu, SPRM mengesahkan tiga pegawainya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.

SPRM memaklumkan, ketiga-tiga pegawai sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman selama enam hari bermula 14 September lalu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan dilaporkan berkata, polis tidak menerima laporan berhubung dakwaan berlaku kecurian barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta), milik seorang individu yang pernah disiasat. – Malaysiapost

Komen