Tanah runtuh: KPDNHEP jamin bekalan sayur tidak terjejas

Tanah runtuh: KPDNHEP jamin bekalan sayur tidak terjejas

KEJADIAN tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai- Blue Valley menghala ke Cameron Highlands tidak akan menjejaskan bekalan sayur-sayuran di pasaran tempatan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ketika memberi jaminan itu, memaklumkan terdapat laluan alternatif untuk membawa sayur-sayuran hasil dari ladang di Cameron Highlands dan kawasan sekitar ke pusat pengedaran di seluruh negara.

“Jabatan Kerja Raya Daerah Kinta, Perak memaklumkan Jalan Persekutuan FT 059 Jalan Tapah- Cameron Highlands dikenalpasti sebagai laluan alternatif untuk membawa sayur-sayuran berkenaan,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Dalam pada itu, KPDNHEP memaklumkan kenaikan harga lima jenis sayur yang dilaporkan seperti sawi, cili, lada benggala serta beberapa jenis salad adalah kes lokaliti dan tiada kena mengena dengan kejadian tanah runtuh.

“Ini turut disahkan oleh Setiausaha Agung, Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun Sayur Malaysia yang harga sawi naik hari ini dan turun keesokan harinya bergantung kepada permintaan dan harga akan stabil jika cuaca sudah pulih,” katanya.

KPDNHEP berkata, pemeriksaan pada 21 September ke atas 685 premis meliputi semua rantaian bekalan iaitu di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit mendapati, bekalan sayur-sayuran di pasaran stabil dan mencukupi.

“Peniaga sayur dinasihatkan tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya dan pengguna diminta turut memantau serta menyalurkan maklumat secara rasmi berkaitan salah laku peniaga yang melanggar undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP,” katanya. – Malaysiapost

Komen