Tiada kompromi terhadap kegiatan judi – Pemuda PAS

Tiada kompromi terhadap kegiatan judi – Pemuda PAS

Pemuda PAS menegaskan pendirian bahawa tiada kompromi terhadap kegiatan judi.

Ketuanya, Khairil Nizam Khiruddin, berkata sebelum ini bantahan sama pernah disuarakan kepada kerajaan pada 2 Januari lalu.

“Inilah pendirian kita sejak dahulu hingga sekarang, tidak ada sebarang kompromi dalam isu judi,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Khairil Nizam, Pemuda PAS berpendapat cabutan khas judi itu bukanlah jalan penyelesaian terbaik kerana aktiviti perjudian adalah haram di sisi Islam selain menambah lebih banyak masalah sosial dalam kalangan rakyat.

“Masih ada jalan lain yang boleh digunakan tanpa perlu menambah kekerapan cabutan ini,” katanya.

Khairil Nizam yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) menambah mereka sekali lagi memohon untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi membincangkan isu berkenaan.

Dalam kenyataan sama, Khairil Nizam turut mengucapkan terima kasih kepada Mahfuz kerana membangkitkan isu berkenaan di Parlimen.

Katanya teguran dibuat itu adalah tepat dan amat diperlukan, apatah lagi ia adalah soal nahi mungkar dan semua umat Islam bertanggungjawab bagi menyuarakan perkara tersebut tanpa mengira parti politik.

“Pemuda PAS menuntut kerajaan supaya lebih bersifat sensitif dan tidak berkompromi dalam isu judi yang terbukti membawa lebih banyak kerosakan dan masalah sosial,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengesahkan kadar kekerapan cabutan khas nombor ramalan ditingkatkan kepada 22 kali setahun dan kebenaran itu diberikan kepada semua syarikat judi di negara ini.

Perkara itu didedahkan Tengku Zafrul di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Isnin lalu.

Semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan kekerapan cabutan khas itu diturunkan kepada lapan kali saja setahun.

Bagaimanapun, kekerapan itu dikembalikan kepada 22 kali selepas PN – yang turut dianggotai PAS – menjadi kerajaan pada akhir Februari tahun lalu. – Malaysiapost

Komen