Pahang mampu kembali sebagai destinasi pelancongan terkemuka – Tengku Zafrul

Pahang mampu kembali sebagai destinasi pelancongan terkemuka – Tengku Zafrul

PIHAK Berkuasa Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bercadang untuk menumpukan kepada galakan pelaburan dalam tiga tunjang utama kepada pelan pembangunannya iaitu pertanian bernilai tinggi, pelancongan lestari dan modal insan. 

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata ia dinyatakan ECERDC menerusi taklimat mengenai pelan pembangunan ekononomi Wilayah Pahang Barat kepadanya semasa Jelajah Bajet 2022 di Lipis semalam. 

“Seperti saya lihat di Pahang sebelum ini, negeri ini mempunyai aset-aset alam yang harus dipelihara dan dijadikan sebagai hab pertanian negara, malah juga tarikan eko-pelancongan yang dapat meningkatkan lagi sosioekonomi tempatan.  

“Sebagai contoh, Mossy Forest di Cameron Highlands yang kaya dengan keindahan alam dan pinggiran Sungai Jelai di Lipis yang dihiasi seni bina warisan yang dapat memberikan pelbagai pengalaman pelancongan.  

“Ini sekali gus akan merancakkan lagi ekonomi tempatan yang akan meningkatkan lagi modal insan rakyat negeri Pahang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini. 

Beliau berkata, dengan pemulihan ekonomi yang terus berada di landasan tepat dan pelan pembangunan ekonomi terancang rapi, Pahang dapat pulih semula sebagai sebuah destinasi pelancongan terkemuka di dunia. 

Tengku Zafrul dijadual membentangkan Bajet 2020 di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini. – Malaysiapost

Komen