Buka lebih banyak surau untuk solat Jumaat

Buka lebih banyak surau untuk solat Jumaat

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, berkata Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN) dicadangkan supaya memperbanyakkan pembukaan surau untuk solat Jumaat.

Beliau berkata, selain itu, premis-premis lain seperti surau atau bilik solat di pusat membeli belah, stesen minyak, taman-taman rekreasi dan lain-lain tempat juga dicadangkan untuk dibuka bagi kemudahan solat fardhu.

“Bagi menjawab soalan mengenai merancakkan pengimarahan masjid, pelbagai program dan kempen kesedaran kewajipan menunaikan solat telah dilaksanakan.

“Antara yang lain, kita mengharapkan masjid sebagai pusat khidmat sosial. Untuk tujuan ini, agensi-agensi Islam sedang giat aktif melaksanakan pelbagai inisiatif bagi pemerkasaan institusi masjid dan surau,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Idris berkata, menerusi sidang Dewan Negara hari ini beliau juga menjawab Pertanyaan lisan Senator Ahmad Yahya mengenai garis panduan baharu daripada kerajaan bagi menambah kapasiti jemaah masjid dan surau.

“Kerajaan telah meminda SOP yang sedia ada berkaitan kapasiti jumlah jemaah solat fardhu dan solat Jumaat dan mencadang diperluaskan mengikut kapasiti masjid dan surau.

“Ia dengan mematuhi SOP terkini yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Fasa 1 hingga 4 tertakluk kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN),” katanya.

Selain itu, katanya, Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah perkenankan SOP terkini pengimarahan serta aktiviti masjid-masjid dan surau-surau di Wilayah-wilayah Persekutuan mengikut kapasiti dengan penjarakan 1.5 meter bermula 1 Oktober Oktober lalu. – Malaysiapost

Komen