Ebit Lew rasa bertuah dapat sokongan orang bukan Islam

Ebit Lew rasa bertuah dapat sokongan orang bukan Islam

PENDAKWAH terkenal Ebit Lew, terharu dan berasa bertuah mendapat sokongan daripada orang bukan Islam dalam usahanya membantu golongan yang memerlukan.

Beliau bagaimanapun menegaskan segala usaha yang dilakukan adalah berkat daripada doa orang ramai serta dengan izin Allah SWT yang memberikan kurnia.

“Malam-malam ni tengah saya beri ceramah pada anak muda tiba-tiba ada seorang lelaki India bukan Islam, Steven Pablo. Sangat baik orangnya. Dari jauh datang.

“Katanya, dia seronok jumpa. Katanya terima kasih kerana sayang walau berbeza bangsa dan agama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, Steven Pablo mengucapkan terima kasih kepadanya dan menyatakan kasih atas apa yang dilakukan serta memintanya meneruskan usaha dan dia serta rakan yang beragama lain akan sentiasa bersamanya.

Ebit Lew berkata, lelaki terbabit turut memberitahu menganggap dia sebagai guru mereka dalam akhlak.

“Saya orang biasa sahaja. Saya yang bertuah kerana dapat jumpa abang. Jika ada kebaikan semua doa ramai orang. Bukan saya. Ini semua kurnia Allah,” katanya.

Sementara itu, Ebit Lew juga memaklumkan Steven Pablo ingin mengaturkan program untuk kumpulan motosikal ‘jipang’ membantu misi kemanusiaannya. – Malaysiapost

Komen