‘Saya senyum bila orang kata saya kurang ajar’ – Uncle Kentang

‘Saya senyum bila orang kata saya kurang ajar’ – Uncle Kentang

Nurul Huda Abhar

Biarpun sering dilabel ‘kasar’ semasa menguruskan gelandangan, aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng mempertahankan tindakannya itu untuk menyelamatkan golongan tersebut ketika di lapangan.

Chee Heng atau mesra disapa Uncle Kentang memberitahu, orang ramai tidak mengetahui situasi sebenar semasa membantu gelandangan, kerana kadang kala perlu menggunakan watak lembut atau keras.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau memaparkan situasi seorang gelandangan yang terbaring di kaki lima rumah kedai dalam keadaan berlumuran najis.

“Tahi berlumuran, pekerja sudah buat aduan banyak kali. Akhirnya berita ini sampai pada kami. Saya berbincang dengan kumpulan dan terpaksa hantar tim perubatan, tim Covid dan Sukarelawan Bomba Serdang untuk mandikan beliau dan bersihkan tempat.

“Buat ujian saringan Covid dan tim perubatan sahkan lelaki ini tiada kecederaan. Ramai kata dia bukan warganegara. Apabila sudah dibersihkan, saya suruh mereka periksa tanda suntikan BCG. Ya, mereka jumpa tanda itu,” katanya dalam hantaran itu.

Bagaimanapun, katanya, lelaki gelandangan itu masih tidak mahu mendedahkan identitinya, maka Chee Hen pula mengambil peranan.

“Ahli tim saya sudah bercakap lembut, tiba pada saya kena guna elemen ‘musuh dan keras’ di mana dia tidak boleh dimanja.

“Ini taktik kami pada individu cuba menyembunyikan identiti sebenarnya. Kalau tidak, semua orang berlembut mungkin dia akan memakan kita dengan kerenah dan memperbodohkan tim,” ujarnya.

Chee Heng berkata, apabila gelandangan yang diselamatlan tiada identiti, ia rumit kerana perlu berunding dengan pihak hospital untuk menerima pesakit tanpa identiti.

Oleh itu, katanya, beliau tidak kisah sering dikatakan kasar dan kurang ajar kerana apa yang penting urusannya untuk membantu golongan gelandangan selesai dengan baik.

“Saya senyum bila orang kata saya kurang ajar. Saya kurang ajar untuk selamatkan dia. Bukan jerkah sebarang tapi jerkah beri manfaat dan selesaikan masalah. Senyum bro…,” katanya. – Malaysiapost

Komen