PM yakin sektor sukan negara akan kembali bernafas

PM yakin sektor sukan negara akan kembali bernafas

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jumlah penyertaan dalam aktiviti sukan meningkat melebihi 1.4 juta peserta sejak kerajaan memberi kelonggaran sebulan lalu.

Beliau berkata, penyertaan itu melibatkan ribuan aktiviti yang bermanfaat, termasuklah sukan bermotor dan sukan ekstrem.

“Justeru, kerajaan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berasa yakin bahawa semua aktiviti yang dilaksanakan secara hibrid itu, akan disertai lebih ramai lagi ahli Keluarga Malaysia menjelang penghujung tahun ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara 2021, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan sedia maklum bahawa seluruh ekosistem sukan menerima kesan yang hebat ekoran pandemik Covid-19.

Beliau berkata, aktiviti sukan yang merupakan sebahagian daripada aktiviti sosial tidak dapat dilakukan secara bebas.

“Paling membimbangkan ialah kesannya terhadap industri sukan.

“Saya difahamkan, bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2020, sebanyak 1,968 perniagaan berkaitan sukan terpaksa menamatkan operasi kerana kekurangan modal pusingan, tidak dapat menampung kos operasi dan sebagainya.

“Sebahagian besar daripadanya ialah promoter dan penganjur acara sukan, perniagaan runcit barangan sukan, pusat kecergasan serta instruktur sukan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, seiring prinsip kerajaan memastikan ‘tiada rakyat yang tercicir atau terpinggir’, segala keresahan dan kebimbangan yang dirasai oleh penggiat sektor sukan terus diberi perhatian oleh kerajaan.

“Bagi membantu penggiat industri sukan yang terjejas, KBS pada 5 Julai lalu telah mengumumkan beberapa Inisiatif Prihatin Belia dan Sukan khusus untuk penggiat industri sukan di Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Inisiatif-inisiatif tersebut telah diwujudkan sebagai usaha KBS, dalam menambah nilai dan menyokong pelaksanaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (atau PEMULIH).

“Prosedur Operasi Standard (SOP) Sektor Sukan dan Rekreasi yang digubal dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), merupakan inisiatif awal bagi memastikan aktiviti sektor ini dapat beroperasi semula,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sambutan Hari Sukan Negara tahun ini disambut penuh makna, selepas setahun ia tidak dapat diraikanekoran pandemik Covid-19.

“Sambutan tahun ini yang berlangsung secara hibrid dan maya, bertujuan meraikan segala usaha dan kejayaan kita dalam membudayakan sukan dan riadah, seperti yang digariskan dalam Dasar Sukan Negara 2009,” katanya. – Malaysiapost

Komen