Pulang semula duit bakal jemaah yang tidak dapat menunaikan umrah – Idris

Pulang semula duit bakal jemaah yang tidak dapat menunaikan umrah – Idris

AGENSI yang mengendalikan pakej umrah diarah mengembalikan semula wang jemaah yang tidak dapat menunaikan ibadah itu tahun ini selepas Arab Saudi menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, berkata SOP baharu bagi mengerjakan umrah yang ditetapkan adalah syarat umur antara 18 hingga 60 tahun.

Beliau berkata, susulan itu bakal jemaah umrah berusia lebih 60 tahun yang sudah mendaftar pada tahun lalu, tidak dapat menunaikannya biarpun pembayaran sudah dibuat.

“Refund (bayar balik) segera wang jemaah umrah yang terkandas. Agensi pelancongan yang mengendalikan pakej umrah ini dinasihatkan supaya memahami konsep muamalat atau bertolak ansur dalam islam.

“Pembatalan itu bukan disebabkan salah mereka, namun syarat ditetapkan oleh Arab Saudi, justeru agensi atau syarikat menerima wang mereka ini, diminta buat pembayaran semula,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan bantuan Musa’adah Banjir kepada Sekolah Rendah Islam Bistari Darul Mulkan, di Bukit Gantang, hari ini.

Idris berkata, bagi agensi atau syarikat pelancongan yang culas dan enggan membayar semula wang jemaah itu, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) disaran untuk campur tangan kerana ia terletak di bawah bidang kuasa mereka.

Sementara itu, ditanya mengenai SOP umrah yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia pula, Idris menegaskan ia akan diumumkan tidak lama lagi.

“Mengenai perkara itu, kita sudah mesyuarat semalam namun saya tidak dapat mengumumkannya kerana ia membabitkan dasar.

“Insya-Allah perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya. – Malaysiapost

Komen