‘Sukan menyatukan kita tidak kira bangsa dan agama’ – Zahida

‘Sukan menyatukan kita tidak kira bangsa dan agama’ – Zahida

SERANGAN terhadap atlet negara dengan isu perkauman adalah tindakan tidak matang dan tidak boleh dijadikan kebiasaan.

Perkara itu diselar Ketua Puteri Umno Datuk Zahida Zarik Khan yang berkata, amalan perkauman dalam sukan wajar dikecam kerana sepatutnya ianya menjadi medan terbaik untuk memupuk semangat perpaduan kepada rakyat Malaysia.

“Sukan menyatukan kita semua.. Dengan sukan dapat lebih mengeratkan lagi seperti satu Keluarga Malaysia.

“Sebagai rakyat Malaysia kita sepatutnya memberikan sokongan penuh kepada atlet negara tidak kira agama mahupun bangsa.

“Keep fighting! We always support you Kisona Selvaduray,” katanya di Facebook, hari ini.

Minggu lalu, tular di media sosial satu hantaran yang didakwa berbaur perkauman ditulis pemilik akaun Facebook, Borhan Che Rahim terhadap pemain badminton perseorangan negara S Kisona selepas pemain itu tewas di tangan pemain Jepun pada aksi separuh akhir Piala Sudirman di Finland.

Hantaran Facebook itu kemudiannya menerima pelbagai reaksi daripada pelayar laman sosial negara ini termasuk kecaman daripada Persatuan Badminton Malaysia yang mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan terbabit.

Sementara itu, S Kisona mengakui kenyataan berbaur perkauman terhadapnya itu telah menjejaskan psikologi dan prestasinya.

Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun dari Seremban, Negeri Sembilan itu bertekad untuk mengetepikan kejadian itu dan menumpukan perhatian pada kempen Piala Uber kerana beliau memikul tanggungjawab sebagai pemain perseorangan pertama untuk Malaysia. – Malaysiapost

Komen