‘Tak biasalah panggil Datuk’ – Pandelela Rinong

‘Tak biasalah panggil Datuk’ – Pandelela Rinong

“Janggal, tak biasalah panggil Datuk,” Itulah reaksi spontan yang diungkapkan oleh ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg sebelum secara rasminya bergelar Datuk.

Agak melucukan, namun Pandelela mengakui dia terpaksa menyesuaikan diri dengan situasi baharu yang diterima dalam hidupnya.

Meskipun tidak selesa untuk dipanggil Datuk nanti, namun gadis Bidayuh berusia 28 tahun dari Bau itu tetap bangga menerima penghargaan yang tidak pernah dimimpikannya selama ini.

Dia merupakan antara 17 penerima Darjah Panglima Setia Bintang Sarawak di Bangunan Lapau, Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini

“Ini merupakan memori yang terindah,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Ratu Terjun Negara itu pernah menerima pingat Ahli Mangku Negara dan Jasa Bakti Sarawak pada 2016, susulan kejayaan mengutip perak dalam Olimpik Rio De Jeinero.

Selepas kejayaan di Rio, prestasi ratu terjun negara ini terus mekar di persada antarabangsa apabila memenangi emas dalam Kejohanan Terjun Dunia di Jepun pada tahun ini, bagi acara 10 meter berirama.

Pandelela yang mula berkecimpung dalam sukan terjun sejak 20 tahun lalu, tekad berikrar dengan menjadikan penganugerahan ini sebagai pembakar semangat untuk terus berjuang mengharumkan nama negara, khususnya Sarawak dalam sukan terjun.

“Ia memberi motivasi kepada saya untuk lebih bersungguh dalam membawa nama negeri dan juga negara,” katanya sebaik sahaja selesai menerima anugerah darjah Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) daripada Yang di Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.

Untuk rekod, Pandelela merupakan ahli sukan pertama dari Sarawak yang memperoleh gelaran ini, pada usia semuda 28 tahun. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Pandelela Rinong

Komen