Usaha masjid negeri sediakan sejadah ‘single-use’ mendapat pujian

Usaha masjid negeri sediakan sejadah ‘single-use’ mendapat pujian

USAHA murni Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Kuantan, Pahang yang menyediakan sejadah ‘single-use’ kepada para jemaah terutamanya musafir di masjid itu wajar dipuji dan dicontohi masjid-masjid yang lain.

Menerusi Facebook rasmi masjid itu, pihak masjid memaklumkan penyediaan sejadah itu untuk memberikan keselesaan kepada para jemaah untuk menunaikan solat di masjid berkenaan.

Justeru, orang ramai yang tidak membawa sejadah untuk menunaikan solat boleh menggunakan sejadah yang diperbuat daripada material Nonwoven Polypropylene (NWPP) secara berhemah.

“Dalam usaha berterusan kami untuk memberi khidmat terbaik kepada para jemaah yang dikasihi, Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 ada menyediakan sejadah 𝗦𝗮𝗻𝘁𝘂𝗻𝗮𝗻 𝗠𝘂𝘀𝗮𝗳𝗶𝗿 khusus untuk para musafir yang singgah solat di masjid kami.

“Sejadah single-use ini adalah sumbangan para jemaah. Sila gunakan dengan berhemah. Pertimbangan akal budi semasa menggunakannya, amatlah dialu-alukan. Jumlah sejadah adalah terhad. Tertakluk kepada ketersediaan,” katanya.

Turut dipaparkan dalam perkongsian itu ialah beberapa foto yang menunjukkan cara untuk menggunakan sejadah berkenaan.

Untuk info, antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menunaikan solat jemaah di masjid atau surau ialah setiap jemaah mesti membawa sejadah sendiri.

Sehubungan itu, pihak Masjid Negeri merakamkan penghargaan terima kasih kepada penyumbang dan dermawan yang membantu menyediakan sejadah ‘single-use’ itu.

“Moga kita dapat bergabung lagi pada masa yang akan datang; dan semoga Allah memberi ganjaran kepada seluruh penyumbang atas segala kemurahan hati. Amin,” katanya.

Tinjauan di ruangan komen, rata-rata netizen memuji usaha murni masjid berkenaan yang cakna masalah yang dihadapi para jemaah khususnya musafir.

“Usaha yg baik..terima kasih utk pengurusan masjid dan penderma²…semoga semuanya selalu dalam rahmat Allah SWT…Amin ya rabbalamin.

“Usaha yang baik sekali, pihak masjid dan ikhtiar ini boleh menjadi rujukan dan tauladan pengurusan masjid, surau lain dalam negara. InshaaAllah.

“Subhanallah…usaha yang amat baik Dan Moga menjadi Masjid Contoh diseluruh Malaysia,” kata netizen. – Malaysiapost

Komen