Kartun rentas negeri, Hishammuddin tanya “itu saya ke”?

Kartun rentas negeri, Hishammuddin tanya “itu saya ke”?

Nurul Huda Abhar

MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein membuat netizen di laman sosial Facebook terhibur apabila meninggalkan komen lucu di sebuah grafik kartun berkenaan kebenaran rentas negeri.

Grafik dihasilkan Galeri Sentuhan ArifSan itu mendapat perhatian Hishammuddin dengan memaparkan karikatur beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, memantau orang ramai yang sudah bersedia untuk merentas negeri.

“Itu saya ke?,” tulis Hishammuddin di ruangan komen.

Rata-rata pengguna Facebook terkejut kerana Menteri Kanan Pertahanan meninggalkan komen di hantaran itu serta mereka memuji tindakan Hishammuddin yang dikatakan mesra dan ‘sporting’.

Dalam ruangan komen itu juga, Hishammuddin mengingatkan orang ramai yang telah lengkap menerima vaksinasi melakukan ujian saringan Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman.

Katanya, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP), orang ramai mesti mengukuhkan kesihatan awam kendiri dengan mengamalkan ‘TRIIS’- Test (ujian), Report (lapor), Isolate (isolasi), Inform (maklum), Seek (cari).

“Sebarkan tentang TRIIS kepada ahli keluarga, sahabat dan seramai mungkin kenalan supaya ia menjadi rutin kendiri,” katanya.

Bermula hari ini, pergerakan rentas negeri diseluruh negara telah dibenarkan setelah peratusan vaksinasi penduduk dewasa mencapai sasaran 90 peratus.

Perdana Menteri mengumumkan Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap dibenarkan merentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). – Malaysiapost

Komen