AGC kembalikan kertas siasatan kes kehilangan AS6.94 juta

AGC kembalikan kertas siasatan kes kehilangan AS6.94 juta

JABATAN Peguam Negara (AGC) telah mengkaji dan meneliti kertas siasatan berkaitan siasatan kes kehilangan wang AS6.94 juta yang diterima pada 28 September 2021 daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jabatan itu menerusi kenyataan berkata, pihaknya mendapati wujud kesalahan-kesalahan lain yang memerlukan siasatan lanjut dilakukan oleh agensi penguatkuasaan yang berkaitan.

“Kertas Siasatan telah dikembalikan untuk tindakan lanjut,” kata kenyataan itu hari ini.

Pada 28 September lalu, Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara telah menerima kertas siasatan berkaitan kes berkenaan yang melibatkan pegawai kanan SPRM.

Sehubungan itu, ia akan mengkaji dengan teliti dan menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada membuat pertuduhan atau mengeluarkan arahan untuk siasatan lanjut.

SPRM sebelum ini menahan tiga pegawainya selepas bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid membuat laporan bahawa sejumlah besar wang tunai yang dirampas dalam siasatan terhadapnya pada 2018 hilang.

Polis kemudian mengesahkan pihaknya menahan seorang pegawai kanan SPRM pada 21 September lalu untuk siasatan memiliki dadah berbahaya, senjata api serta peluru.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dilaporkan berkata, dua kertas siasatan telah dibuka berhubung tangkapan itu. – Malaysiapost

Komen