Aksi Piala Malaysia kembali bergemuruh 29 Oktober ini

Aksi Piala Malaysia kembali bergemuruh 29 Oktober ini

MALAYSIAN Football League (MFL) menyambut baik keputusan kerajaan untuk membenarkan penyokong hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Piala Malaysia 2021 dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata ia akan melonjakkan kembali industri bola sepak negara terutama sempena 100 tahun Piala Malaysia selepas kejohanan berprestij itu terpaksa dibatalkan akibat pandemik Covid-19 tahun lalu.

Sehubungan itu katanya, MFL memberi kebenaran kepada kelab untuk mengikut kuota penyokong ditetapkan atau mengurangkan jumlah kemasukan penonton berdasarkan kemampuan dari segi pengurusan petugas stadium, pasukan keselamatan atau marshall pada hari perlawanan.

Katanya, ia akan bermula dengan aksi minggu ketiga Piala Malaysia pada 29 Oktober ini.

“Apa yang penting, hanya penyokong atau penonton lengkap divaksinasi boleh masuk ke stadium selain wajib memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum di stadium.

“Kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan berada di stadium mengikut SOP ditetapkan kerajaan dan juga SOP-SOP kebenaran penonton masuk ke stadium pada April lalu yang dikeluarkan sebelum ini,” katanya seperti dilaporkan portal MFL.

Berdasarkan SOP dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS), jumlah penyokong yang dibenarkan memasuki stadium adalah mengikut fasa.

Bagi negeri dalam Fasa 2 dibenarkan 20 peratus atau 5,000 penonton (yang mana lebih rendah) diikuti Fasa 3; 30 peratus atau 10,000 penonton (yang mana lebih rendah) dan Fasa 4; 50 peratus atau 20,000 penonton (yang mana lebih rendah) daripada kapasiti venue.

Sementara itu, Ab Ghani memaklumkan penyokong dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan persahabatan kelab-kelab yang bertanding dalam Piala Malaysia jika mengadakan perlawanan pemanas badan sepanjang perlawanan antarabangsa pasukan kebangsaan bulan ini.

Bagaimanapun katanya, kelab-kelab terlibat perlu memaklumkan kepada MFL dan wajib mematuhi SOP ditetapkan bagi kemasukan penyokong ke stadium walaupun perlawanan itu hanya berstatus aksi persahabatan. – Malaysiapost

Komen