Aliran trafik di lebuh raya meningkat hari pertama rentas negeri – KJ

Aliran trafik di lebuh raya meningkat hari pertama rentas negeri – KJ

Nurul Huda Abhar

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan terdapat peningkatan trafik di lebuh raya pada hari pertama perjalanan antara negeri yang dibenarkan bermula semalam.

Beliau berkata, menerusi data diperoleh daripada Plus Trafik, secara keseluruhan peningkatan aliran trafik meningkat sebanyak 14 peratus.

Katanya, aliran trafik arah utara meningkat 20.5 peratus, arah selatan 15.4 peratus dan trafik sekitar Lembah Klang sebanyak 9.7 peratus.

“Kami akan terus memantau corak penyakit dan data mobiliti untuk meramalkan kemungkinan wabak. #TRISS,” ciapnya di laman Twitter hari ini.

Dalam hantaran berbeza, Khairy mengingatkan semua syarikat konsesi lebuh raya agar memastikan kawasan berisiko tinggi seperti surau dan hentian rehat dan rawat (RnR) mempunyai pengudaraan yang baik.

Menurutnya, selain itu pemantauan dari segi penjarakan sosial juga perlu dititikberatkan bagi persediaan peningkatan pengguna di lebuh raya pada hujung minggu ini.

Pergerakan rentas negeri di seluruh negara dibenarkan bermula semalam setelah peratusan vaksinasi penduduk dewasa mencapai sasaran 90 peratus.

Perdana Menteri mengumumkan Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap dibenarkan merentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). – Malaysiapost

Komen