Neelofa sumbang RM500,000, baik pulih 21 surau di Kelantan

Neelofa sumbang RM500,000, baik pulih 21 surau di Kelantan

KEMURAHAN hati usahawan dan selebriti popular, Neelofa sememangnya tidak dapat disangkal lagi apabila giat menjalankan kerja amal dan kebajikan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) miliknya.

Terbaharu, Neelofa memperuntukkan kos keseluruhan sebanyak RM500,000 menerusi Pertubuhan Kasih Neelofa bagi membaik pulih 21 surau di Kelantan.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kasih Neelofa, Noor Razlina Noor Mohamed, berkata surau-surau terpilih adalah di daerah Pasir Mas, Kota Bharu dan Bachok.

Beliau berkata, setiap surau diperuntukkan sebanyak RM15,000 hingga RM30,000 bergantung kepada kerosakan dan kos yang diperlukan untuk dibaiki.

“Peruntukan kerja-kerja membaiki surau rosak itu bertujuan memberi kemudahan kepada penduduk setempat untuk menunaikan ibadah di surau berdekatan tempat tinggal masing-masing.

“Surau yang hendak dibaik pulih ketika ini berada dalam keadaan daif, manakala surau akan dibina bagi yang sudah rosak 100 peratus,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, hari ini.

Beliau sebelum itu menyampaikan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat bagi membaiki Pondok Polis Pasar Jelawat yang rosak akibat dibakar seorang lelaki bermotosikal pada September lalu.

Hadir sama ialah Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin.

Sementara itu, Noor Razlina berkata, selain Kelantan, pihaknya turut membaik pulih surau di negeri-negeri lain termasuk Sabah.

“Kita juga menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan seperti polis sebagai tanda penghargaan kerana banyak membantu masyarakat.

“Kami menghargai jasa polis yang bertugas demi rakyat terutama dalam mencegah penularan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

Komen