PM serah surat naik taraf pejabat Ketua Pembangkang

PM serah surat naik taraf pejabat Ketua Pembangkang

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam menyerahkan surat pengesahan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menaiktaraf status pejabat Ketua Pembangkang dengan kemudahan-kemudahan yang setara dengan pejabat menteri.

Surat tersebut diserahkan kepada Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson sebelum mesyuarat kedua Jawatankuasa Pemandu MOU Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) di bilik mesyuarat Parlimen.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata mesyuarat itu antara lain membincangkan perkembangan pelaksanaan agenda-agenda pembaharuan yang dipersetujui bersama.

“Beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen yang akan datang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya malam tadi.

Loke berkata, mesyuarat itu akan diadakan pada Isnin setiap dua minggu.

“Mesyuarat seperti ini membawa satu budaya politik yang baru untuk negara kita. Walaupun ada perbezaan politik di antara parti, kita tetap boleh duduk bersama untuk berbincang dan mencari titik persamaan demi kepentingan negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen