998 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air mulai 9 pagi

998 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air mulai 9 pagi

Nurul Huda Abhar

MULAI jam 9 pagi hari ini penduduk Lembah Klang bakal mengalami gangguan bekalan air berskala besar berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1.

‘Acara tahunan’ itu kali ini melibatkan 998 kawasan yang dijangka pulih pada sepenuhnya 16 Oktober jam 9 pagi, susulan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) melaksanaan penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal.

Kawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula hari ini ialah Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor

Air Selangor pada 1 Oktober lalu mengeluarkan notis berhubung henti tugas LRA Sungai Selangor Fasa 1 bagi memudahkan penduduk di kawasan terlibat membuat persediaan termasuk menadah air secukupnya untuk kegunaan tiga hari.

Tinjauan media mendapati, sejak tiga hari lalu penduduk Lembah Klang rata-rata membeli tong plastik pelbagai saiz untuk menyimpan air, dan terdapat laporan di sebuah kedai barangan plastik tong bersaiz besar telah pun habis diborong.

Tidak ketinggalan di media sosial menjadi ‘trending’ tanda pagar #selangortakdeair #tadahair menunjukkan penduduk di Lembah Klang sudah membuat persediaan awal untuk menghadapi gangguan bekalan air tersebut.

Semakan Malaysiapost di laman TikTok juga mendapati banyak video trending menunjukkan cara-cara menadah air menggunakan plastik pakai buang bersaiz besar bagi menggantikan tong-tong air.

Air Selangor dalam kenyataan berkata pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal itu telah tertangguh daripada jadual asal iaitu pada tahun 2019 dan 2020 berikutan insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar.

Katanya, pelaksanaan kerja-kerja itu mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaiktaraf sistem bekalan air demi keselesaan pengguna pada masa hadapan.

“Justeru itu, Air Selangor ingin menasihatkan pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen