Alhamdulillah kerja selesai, bekalan air Selangor pulih

Alhamdulillah kerja selesai, bekalan air Selangor pulih

KERJA penambahbaikan dan penyelenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) akhirnya berjaya diselesaikan sebentar tadi.

Perkhabaran gembira itu disahkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Aminudin Shaari yang berkata, kerja penyelenggeraan itu selesai lebih awal dari jangka masa ditetapkan sekali gus proses bekalan air akan pulih secara berperingkat mulai esok.

“Saya telah turun meninjau kerja-kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air SSP 1.

“Alhamdulillah kerja-kerja tersebut telah selesai dan loji sudah mula beroperasi jam 8.15 malam tadi, 2 jam 45 minit lebih awal dari jadual asal. Bekalan air akan diagihkan secepat mungkin secara berperingkat bermula esok,” katanya di Facebook, hari ini.

Mengulas mengenainya, Amirudin berkata, antara bahan-bahan yang diganti adalah injap, flow meter serta paip-paip utama di dalam LRA.

“Sementara itu, Air Selangor akan menggerakkan tangki-tangki air serta statik untuk mengagihkan air ke kawasan-kawasan perumahan seperti pangsapuri bertingkat tinggi,” katanya.

Pada 1 Oktober lalu, Air Selangor mengeluarkan notis berhubung henti tugas LRA Sungai Selangor Fasa 1 bagi memudahkan penduduk di kawasan terlibat membuat persediaan termasuk menadah air secukupnya untuk kegunaan tiga hari.

Air Selangor turut memaklumkan penduduk di 998 kawasan sekitar Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air, bermula hari ini.

Antara daerah terbabit ialah Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor. – Malaysiapost

Komen