Bekas MB Johor dikejarkan ke hospital

Bekas MB Johor dikejarkan ke hospital

BEKAS Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian diserang angin ahmar di kediamannya di Johor Bahru, Johor, pada pagi ini.

Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Md Nasir Hashim berkata, Adun Kempas itu dikejarkan ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan.

“Beliau (Osman) diserang angin ahmar (strok) antara pukul 10 ke 11 pagi dan segera dibawa ke hospital,” katanya, lapor The Star.

Md Nasir yang juga seorang senator berkata, dia menerima berita mengejutkan itu semasa berada di Dewan Negara.

Sementara itu Adun Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata, Osman akan dipindahkan ke sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Osman, 70, adalah Menteri Besar Johor ke-16 dan yang pertama daripada Bersatu yang dilantik selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Beliau memegang jawatan tersebut kira-kira 11 bulan sebelum melepaskannya pada April 2019. – Malaysiapost

Kredit Foto: Voice Johor

Komen