Formula ‘MAP’ tentukan calon menang Umno pada PRU15

Formula ‘MAP’ tentukan calon menang Umno pada PRU15

UMNO perlu menggunakan formula ‘MAP’ dalam menentukan calon-calon yang layak menang bertanding pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15) akan datang.

Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, tiga elemen dalam formula MAP akan menentukan calon-calon parti itu kekal relevan sekali gus menang PRU15 nanti.

“Umno perlu calon-calon ‘MAP’ untuk kekal relevan dan menang PRU15:

“M bermaskud muda atau muka baharu. A bermaksud agama atau berpendidikan agama. P pula bermaksud pendidikan atau berkelayakan dan profesional,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Mustapha berkata, formula MAP itu tidak bermaksud Umno perlu mengenepikan ‘orang lama’, sebaliknya gandingan muka lama dan baru akan memberi ramuan kesegaran baharu kepada Umno yang berusaha menawan semula Putrajaya pada PRU15 ini.

“Umno tidak wajar mengenepikan tokoh-tokoh lama yang masih mampu menyumbangkan tenaga dan fikiran serta mempunyai rekod kerja yang cemerlang kepada rakyat dan setia kepada parti.

“Kombinasi muka lama dan baharu mesti dijadikan keutamaan dalam pemilihan calon. Ianya bagi menepati selera pengundi yang terdiri daripada pengundi tradisi dan pengundi baharu,” katanya.

Justeru, Mustapha menegaskan, Umno perlu memilih ‘winnable candidates’ dalam setiap kerusi yang ditandingi pada PRU15 nanti.

“Kriteria ‘winnable candidates’ mesti menepati kehendak pengundi dan bukan hanya kehendak pemimpin bahagian, negeri dan pusat atau hanya ahli-ahli Umno.

“Pemimpin-pemimpin lama sewajarnya mengikut langkah (Datuk Seri) Nazri Aziz yang telah mengisytiharkan tidak akan bertanding dalam PRU15 bagi memberi peluang kepada muka baharu sejajar dengan usaha meremajakan Umno.

“Kenyataan Presiden Umno yang mahu memberi peluang kepada muka-muka baharu bertanding dalam PRU15 wajar disambut baik dan disokong oleh semua pihak demi kesinambungan perjuangan Umno sebagai sebuah parti Melayu yang ulung dan kekal relevan di negara ini,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Umno Online

Komen