Had jawatan PM: Kajian teliti, menyeluruh sebelum pinda Perlembagaan

Had jawatan PM: Kajian teliti, menyeluruh sebelum pinda Perlembagaan

CADANGAN mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun sahaja memerlukan satu kajian teliti dan menyeluruh terlebih dahulu sebelum proses selanjutnya dilaksanakan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pelaksanaan cadangan itu memerlukan satu pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

“Memandangkan ia merupakan satu pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, adalah penting satu kajian yang teliti dan menyeluruh perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum kerajaan membentangkan cadangan pindaan tersebut di Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis Parlimen kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Fahmi dalam soalannya meminta dinyatakan adakah kerajaan berhasrat meluluskan undang-undang yang mengehadkan tempoh perkhidmatan seorang Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja.

Jawapan bertulis itu dikongsi Fahmi di media sosial miliknya.

Cadangan tersebut adalah antara kandungan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) yang ditandatangani baru-baru ini.

Wan Junaidi berkata, kerajaan memberi jaminan semua yang termaktub dalam MoU tersebut akan dilaksanakan dan diambil tindakan segara. – Malaysiapost

Komen