Ketua Menteri Caretaker jumpa TYT Melaka

Ketua Menteri Caretaker jumpa TYT Melaka

KETUA Menteri Caretaker, Datuk Seri Sulaiman Md Ali hari ini mengadap Yang di-Pertua Negeri (TYT) Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Perjumpaan tersebut dikatakan yang pertama sejak krisis politik melanda negeri itu sejak minggu lalu.

Sulaiman berkata, pada pertemuan itu beliau berkongsi perkembangan terkini pentadiran negeri kepada Yang di-Pertua Negeri.

“Alhamdulillah, pagi ini saya bersama Datuk Ts Kamel Mohamed, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka mengadakan pertemuan bersama TYT Tun Seri Setia (Dr) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka di Pejabat TYT, Ayer Keroh.

“Pertemuan ini memberi peluang kepada saya mewakili Kerajaan Negeri Melaka bagi berkongsikan perkembangan terbaharu dalam pentadbiran negeri,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Menerusi hantaran tersebut, Sulaiman memuat naik beberapa gambar ketika pertemuan itu berlangsung.

Berdasarkan satu gambar yang dikongsi, beliau kelihatan membetulkan tali leher yang dipakai Mohd Ali.

Sulaiman dilantik sebagai Ketua Menteri Caretaker susulan Dewan Udangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 dibubarkan pada 4 Oktober lalu.

Keputusan itu dibuat Mohd Ali selepas Sulaiman mengutuskan surat kepada Yang di-Pertua Negeri berhubung empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri.

Selepas pertemuan dengan Mohd Ali, Sulaiman mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bilik Mesyuarat MMKN di Seri Negeri, Melaka. – Malaysiapost

Sulaiman mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri

Komen