KKM rancang mula kajian beri dos penggalak guna vaksin berbeza bulan depan

KKM rancang mula kajian beri dos penggalak guna vaksin berbeza bulan depan

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) merancang untuk memulakan kajian pemberian dos penggalak menggunakan jenis vaksin yang berlainan daripada vaksin yang diterima sebelumnya (vaksinasi heterologous).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kajian itu akan diadakan di Sarawak pada November ini sebelum diperluaskan ke negeri lain selepas mendapat kelulusan oleh Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan (MREC).

Buat masa ini, kata Khairy, pemberian dos penggalak hanya akan melibatkan penerima vaksin Pfizer, yang akan menerima dos penggalak juga daripada vaksin jenis itu.

“Ini memandangkan hanya vaksin Comirnaty (keluaran Pfizer) yang telah mendapat kelulusan bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 8 Oktober 2021,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairy berkata, dos penggalak untuk warga emas dan petugas barisan depan akan diberikan di klinik swasta, manakala anggota tentera akan menerima suntikan mereka di kemudahan kesihatan tentera.

“Fasiliti kesihatan kerajaan memberikan vaksin kepada anggota kesihatan masing-masing. Anggota kesihatan swasta boleh mendapatkan dos penggalak daripada fasiliti masing-masing bergantung kepada persetujuan pihak Jabatan Kesihatan Negeri,” katanya.

Katanya lagi, pemberian dos penggalak dibuat secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dengan objektif untuk menjamin penerima mendapat tempoh perlindungan optimum.

Selain itu, Khairy berkata kerajaan juga akan memberikan dos tambahan kepada individu yang mempunyai imuniti yang rendah seperti pesakit barah, penerima organ dan pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis.

“Dos tambahan ini diberikan sekurang-kurangnya 28 hari selepas penerimaan dos lengkap vaksin Covid-19.

“Pemilihan vaksin bergantung kepada kelulusan indikasi penggunaan oleh pakar perubatan yang merawat serta bekalan vaksin yang tersedia sama ada daripada jenis yang sama atau berlainan dengan dos terakhir.

“Pemberian dos tambahan ini akan diberikan di fasiliti kesihatan terpilih di bawah pemantauan pakar perubatan,” katanya. – Malaysiapost

Komen