‘Musuh mencemburui perpaduan dalam kerajaan’ – Khairuddin

‘Musuh mencemburui perpaduan dalam kerajaan’ – Khairuddin

SIRI perpaduan yang dinikmati dalam kerajaan hari ini adalah hasil Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) yang amat dicemburui musuh.

Ahli Parlimen Kuala Nerus dari PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, siri-siri perpaduan ini adalah kejayaan umat yang sangat dicemburui oleh musuh.

“Nikmat kebersamaan dalam Kerajaan Persekutuan hari memang benar-dibenar dicemburui musuh. Suara-suara halus syaitan sentiasa berbisik dan menghasut untuk dirungkaikan kesatuan ini.

“Marilah kita bersama menanam tekad agar perpaduan ini tidak lagi terungkai. Ia adalah kejayaan besar umat. Ia adalah nikmat besar yang tiada taranya yang perlu disyukuri, dipertahan dan diperkasakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu menggesa para pemimpin parti yang terlibat untuk berusaha mengekalkan perpaduan yang dibentuk selama ini.

“PAS bertanggungjawab mendidik politik muafakat umat. Ia bukan untuk kebaikan PAS semata-mata tetapi kebaikan untuk Islam dan umat. Ia diseru oleh Islam bukan hanya diseru oleh parti, kelompok atau rakan.

“Kejayaan besar PAS ialah merundingkan perpaduan dengan Umno sehingga terbentuk Muafakat Nasional pada 14 September 2019. Pertembungan dan perbalahan antara orang Melayu Islam di Malaysia sejak 1978 selama 41 tahun berakhir. Ia detik yang sangat bersejarah.

“Seterusnya berjaya pula berpadu dengan PBBM dengan tertubuh Perikatan Nasional,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Mohd Khairuddin bertekad akan terus memperjuangkan muafakat ini selagi hayatnya dikandung badan demi Islam dan umat.

“Saya yakin ramai yang senada dan sehala tuju dengan saya. Kepada para pemimpin, lihatlah para penyokong dan pendokong parti di bawah dan di kampung-kampung yang bergembira atas perpaduan ini..

“Jangan biarkan ia dihancurkan oleh tangan yang berkepentingan duniawi. Sebagai pemimpin, anda bertanggungjawab bukan hanya di dunia tetapi hingga ke Akhirat,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook

Komen