Pegawai, pentadbir masjid di Selangor tak lengkap vaksinasi tak dibenar bertugas

Pegawai, pentadbir masjid di Selangor tak lengkap vaksinasi tak dibenar bertugas

SELANGOR melarang pegawai atau pentadbir masjid dan musolla yang belum lengkap divaksinasi mengendalikan pelaksanaan solat Jumaat dan fardu lima waktu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pihak terlibat juga tidak dibenarkan mengendalikan sebarang aktiviti pengimarahan lain sekiranya masih belum mengambil suntikan vaksin.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni

“Pihak pengurusan juga perlu melantik imam, bilal atau siak yang telah lengkap divaksin sebagai pengganti sepertimana diarahkan oleh ulil amri (pemerintah).

“Sekiranya terdapat mana-mana pegawai atau pentadbir masjid atau musolla yang masih enggan mengambil suntikan vaksin, maka laporan hendaklah dibuat kepada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID),” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pegawai masjid dan jurunikah yang masih berdegil enggan menerima vaksin Covid-19 berdepan kemungkinan tidak dibenarkan meneruskan tugas.

Baginda menzahirkan rasa dukacita apabila terdapat dalam kalangan golongan itu yang memilih untuk tidak mahu divaksin kerana tindakan itu membahayakan diri sendiri dan orang ramai.

Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir juga menegaskan, hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan ditetapkan kerajaan.

Sementara itu, Mohd Zawawi menegaskan, pentadbir masjid dan surau juga hendaklah sentiasa memberi peringatan secara berkala kepada setiap jemaah untuk mematuhi prosesur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Pihak terlibat juga perlu melaksanakan proses disinfeksi secara berkala pada setiap waktu solat Jumaat, fardu dan program pengimarahan.

“Pihak pentadbir dinasihatkan agar tidak melaksanakan sebarang aktiviti pengimarahan yang belum dibenarkan,” katanya.

Tegasnya lagi, pihak pengurusan juga perlu melaporkan sebarang pelanggaran SOP yang berlaku melibatkan para jemaah sewaktu menunaikan solat dan mengikuti program pengimarahan yang dilaksanakan. – Malaysiapost

Komen