Piala Thomas: Dua misi Zii Jia terlaksana

Piala Thomas: Dua misi Zii Jia terlaksana

MEMASTIKAN satu mata untuk skuad negara dan mengekalkan status sebagai 10 pemain perseorangan terbaik dunia!

Dua misi itu dilaksanakan Lee Zii Jia dengan bergaya apabila mengambil masa 38 minit untuk menyumbang mata pertama negara ketika mudah menundukkan Kanada 5-0 dalam aksi Piala Thomas di Aarhus, Denmark, awal pagi tadi.

Jaguh perseorangan lelaki badminton negara itu mengenepikan pemain nombor 39 dunia Brian Yang 21-18, 21-13.

“Paling penting hari ini ialah kekuatan mental. Saya rasa kekuatan mental lawan kurang sedikit, jadi saya memaksanya membuat kesilapan. Memang dia pemain yang bagus dengan kemahiran melakukan serangan dan mampu bermain defensif,” kata Zii Jia.

Kecemerlangan pemain nombor lapan dunia itu diteruskan oleh Cheam June Wei yang menewaskan Jason Anthony Ho-Sue straight set 21-14, 21-14, dalam masa 40 minit.

Mata ketiga negara disumbangkan Ng Tze Yong dengan mengatasi BR Sankeerth 21-7, 21-19 dalam masa 42 minit untuk mengesahkan slot suku akhir.

Pasangan baharu negara, Soh Wooi Yik dan Nur Izzuddin Mohd Rumsani tidak berdepan tentangan untuk mengutip mata keempat negara apabila mengatasi Philippe Charron-Maxime Tetreault 21-7, 21-10 dalam masa 25 minit.

Satu lagi pasangan baharu Aaron Chia-Goh Sze Fei menghadiahkan mata kelima negara dengan menewaskan Sankeerth-Nyl Yakura 21-14, 21-13 dalam tempoh 31 minit. – Malaysiapost

Komen