Positif dadah: ‘Saya minta maaf pada kalian semua’ – Niezam Zaidi

Positif dadah: ‘Saya minta maaf pada kalian semua’ – Niezam Zaidi

PELAKON Niezam Zaidi yang ditahan polis selepas didapati positif dadah Ahad lalu, tampil memohon maaf dan meminta sedikit ruang peribadi buatnya berhubung isu tersebut.

Pelakon berusia 28 tahun itu memohon maaf kerana tidak dapat menjawab panggilan telefon dan membalas semua komen ditinggalkan rakan-rakannya dan pihak media menerusi WhatsApp dan media sosial.

“Assalamualaikum kepada semua. Saya minta maaf jika ada salah dan silap saya pada kalian semua.

“Saya minta maaf jika tidak dapat membalas satu persatu komen sahabat handai, media dan rakan-rakan seperjuangan melalui DM (Instagram), WhatsApp, panggilan telefon dan sebagainya,” katanya di hantaran Instagram.

Niezam atau nama sebenarnya Muhamad Niezam Mohd Zaidi berkata, dia bersyukur masih ada insan mengambil berat dan sudi mendoakannya biarpun terpalit dengan kesalahan dadah.

Pelakon Budak Pailang itu berkata, buat masa ini dia akan menyimpan sebarang komen berhubung kejadian tangkapan tersebut.

“Alhamdulillah, syukur pada Allah SWT atas apa yang terjadi. Jutaan terima kasih juga pada kalian semua yang selalu mendoakan saya selama ini. Semoga Allah SWT merahmati kalian.

“Buat masa sekarang, saya simpan apa-apa komen mengenai isu ini. Semoga kalian semua sihat dan diberkati serta dirahmati,” katanya.

Terdahulu, Niezam bersama pengarah, Mohd Latiff Zami, 49; dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 46 telah ditahan pihak dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kuala Kangsar pada 7.15 pagi, 10 Oktober lalu.

Dalam serbuan tersebut, polis menjumpai dadah jenis kanabis seberat 1.45 gram dipercayai milik pelakon dan pengarah terbabit.

Pemeriksaan di bilik penolong pengarah pula menjumpai di atas lantai dadah jenis methamphetamine seberat 0.38 gram.

Ketiga-tiga mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar semalam atas tuduhan memiliki dadah. – Malaysiapost

Komen