PRN Melaka: Umno bergerak solo, tiada kerjasama Muafakat Nasional – Zahid

PRN Melaka: Umno bergerak solo, tiada kerjasama Muafakat Nasional – Zahid

UMNO tidak akan bekerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya beliau menegaskan, Umno akan bertanding di bawah panji Barisan Nasional (BN) secara solo dan terpulang kepada rakyat untuk memilih mana-mana parti terbaik.

“Oleh kerana MN tak pernah didaftar, maka saya tak nampak ada cahaya terang untuk ia direalisasikan sebagaimana Pilihan Raya Kecil (PRK) yang pernah diadakan.

“Biarlah Umno bertanding dengan panji BN secara solo, insya-Allah rakyat pilih parti terbaik,” katanya dalam satu program bual bicara yang disiarkan di platform media sosial, malam tadi.

Ketika ditanya oleh pengacara sama ada beliau kecewa dengan situasi terkini MN, Ahmad Zahid berkata cukuplah pengkhianatan itu berulang kali.

“Saya tak pernah kecewa sebagai seorang ahli politik, tetapi kita harus tahu bahawa bila berkongsi hidup, harus saling percaya mempercayai dan jangan khianat mengkhianati.

“Cukuplah kalau pengkhianatan tu berlaku sekali, tapi kalau berulang kali, bukan kepada Umno, tetapi kepada pelbagai pihak, saya fikir itu harus dinilai semula,” katanya.

Kelmarin Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin dilaporkan berkata PAS akan meneruskan agenda penyatuan ummah dan tidak akan membuat sebarang pilihan antara MN atau PN.

Sebaliknya Hashim seperti dilapor Harakahdaily berkata, PAS kekal dengan prinsip penyatuan ummah menerusi kerjasama dengan Umno dan Bersatu.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Umno juga tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRN Melaka.

Katanya, ia selaras ketetapan Perhimpunan Agung Umno 2020 pada Mac lalu yang menetapkan Umno tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

“Saya fikir itulah kehendak pemimpin dan ahli Umno, saya harap mereka dengar, apa yang saya nyatakan ini adalah suara hati politik mereka,” katanya. – Malaysiapost

Komen