Pulau Batu Puteh: Shahrir puji sikap konsisten MB Johor

Pulau Batu Puteh: Shahrir puji sikap konsisten MB Johor

VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Samad memuji sikap konsisten Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berhubung isu kedaulatan negara membabitkan kes Pulau Batu Puteh.

Beliau berkata, sikap itu berbeza dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa memandang enteng soal kedaulatan negara berhubung isu Pulau Batu Puteh ketika menjadi Perdana Menteri zaman Pakatan Harapan (PH).

“Macam ni lah pemimpin Umno. Bertanggungjawab terhadap isu kedaulatan negeri yang telah diabaikan oleh Kerajaan PH!

“Tun Mahathir dalam bulan pertama sebagai PM telah pandang enteng soal kedaulatan negara dan sanggup tarik balik kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) supaya Batu Puteh kekal milik Singapura,” katanya menerusi Facebook.

Shahrir berkata, ketika menjadi Ketua Pembangkang Johor, Hasni telah membantah keputusan Dr Mahathir dan Pakatan Harapan (PH) berkenaan kes Pulau Batu Puteh.

Katanya, ketika itu surat bantahan berkenaan dihantar kepada Datuk Osman Suffian yang juga Menteri Besar PH ketika itu.

“Sekarang Datuk Hasni adalah MB Johor. Pendirian semasa Pembangkang sama juga bila sudah jadi MB. Tetap konsisten!,” katanya.

Sebelum ini, Hasni memaklumkan Kerajaan Johor amat mengalu-alukan dan menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan menubuhkan jawatankuasa bagi menyemak semula undang-undang berkenaan kes Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca.

Katanya, isu tuntutan Pulau Batu Putih antara Malaysia dan Singapura sememangnya amat dekat dengan kerajaan dan rakyat di negeri itu, sama ada dari segi sejarah mahupun kedudukannya kerana hampir dengan Johor.

“Kerajaan negeri memberi jaminan akan memberikan kerjasama dan membantu Kerajaan Persekutuan dalam usaha mendapatkan pelbagai dokumen dan pandangan yang diperlukan.

“Dalam pada itu, kerajaan negeri juga bersetuju memberikan sokongan penuh tentang tindakan undang-undang di bawah ‘tort of misfeasance’ ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan kerana tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes tersebut,” katanya. – Malaysiapost

Komen