Pulau Batu Puteh: Tak sangka saya DAP akan ‘bekap’ – Najib

Pulau Batu Puteh: Tak sangka saya DAP akan ‘bekap’ – Najib

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak menyangka DAP menyokong kenyataannya berkaitan kes Pulau Batu Puteh.

Ia selepas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy yang juga anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP berkata mungkin ada benarnya Tun Dr Mahathir Mohamad bertanggungjawab atas kehilangan Pulau Batu Puteh seperti dinyatakan Najib sebelum ini.

Bagaimanapun, menurut Najib kenyataan Peguam Negara ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah adalah keputusan untuk melepaskan Pulau Batu Puteh buat selamanya juga dibuat barisan Kabinet, termasuk kesemua ketua-ketua parti DAP, Amanah, PKR dan Bersatu.

“Kata pemimpin DAP, bukan terletak pada Mahathir untuk memutuskan sama ada permohonan semakan boleh dimenangi atau tidak,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan menyatakan komitmen kerajaan untuk membuat semakan undang-undang terhadap tuntutan Pulau Batu Puteh yang akan diketuai bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Sebelum ini, Najib mempersoalkan siapakah yang menasihati Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri supaya menarik balik permohonan semakan kes berkenaan setelah PH mentadbir negara kira-kira tiga tahun lalu.

Katanya, pentadbiran PH menulis kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk menarik balik permohonan itu pada 28 Mei 2018.

Semakan kes itu difailkan pada Februari 2017 oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Berikutan itu, Ramasamy berpendapat, PH sepatutnya merayu keputusan terdahulu ICJ.

“Mahathir diberi nasihat yang salah bahawa Malaysia tidak berpeluang memenangi rayuan itu dan bahawa kos rayuan terlalu tinggi,” katanya. – Malaysiapost

Komen