‘Selagi PH memerintah masalah air di Selangor tak akan selesai’

‘Selagi PH memerintah masalah air di Selangor tak akan selesai’

KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil menyifatkan masalah air di negeri itu tidak akan berkesudahan selagi Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Beliau berkata, Selangor masih lagi mengalami masalah gangguan bekalan air walaupun sudah tiga penggal negeri itu diperintah PH.

“Alasan demi alasan diberikan e.g kononnya penyelenggaraan, paip pecah, keracunan dan pencemaran sungai dan sebagainya.

“Di seluruh dunia pun penyelenggaraan infrastruktur air kerap berlaku, tetapi ia tidaklah kerap mengakibatkan terputusnya bekalan air di kawasan yang besar seperti di Selangor selama berhari-hari dan ada masanya berminggu-minggu,” katanya menerusi Facebook.

Isham berkata, sekiranya Selangor ingin betul-betul menjadi negeri maju, perkara asas itu perlu diperbetulkan dahulu.

“Sudah bertahun perkara yang sama berlaku. Penyokong tegar PH mungkin boleh terima hal ini dan telan saja alasan-alasan yang diberikan.

“Tetapi rakyat rata-rata sengsara bila air tiada dan mereka mahu perkara ini diselesaikan,” katanya.

Sebelum ini, Air Selangor memaklumkan memaklumkan penduduk di 998 kawasan sekitar Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air, bermula hari ini.

Antara daerah terbabit ialah Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Gangguan bekalan air itu adalah disebabkan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) selama 14 jam. – Malaysiapost

Komen