Ahli Parlimen Labuan mengaku tidak bersalah guna kedudukan dapatkan kontrak

Ahli Parlimen Labuan mengaku tidak bersalah guna kedudukan dapatkan kontrak

AHLI Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan mendapatkan kontrak pekerjaan bagi syarikat di mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan.

Ketua Whip Parti Warisan Sabah (Warisan) itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozina Ayob, lapor Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Rozman sebagai pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan.

Kontrak itu bagi Syarikat Liberty Port Management Sdn Bhd, yang mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya, antara jam 2.30 dan 5.30 petang, pada 23 Mac 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib sebelum itu menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin serta pasport tertuduh diserah kepada mahkamah dan tidak dibantah peguam Mohd Rafiq Rashid Ali yang mewakili Rozman.

Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin di Semenanjung, serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 19 November ini untuk sebutan semula kes. – Malaysiapost

Komen