Pelabuhan Klang tersenarai sebagai pelabuhan cekap

Pelabuhan Klang tersenarai sebagai pelabuhan cekap

PELABUHAN Klang tersenarai sebagai pelabuhan yang cekap dalam kalangan 22 pelabuhan terbesar dan terkemuka seluruh dunia, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong.

Beliau berkata, Pelabuhan Klang telah mengendalikan purata 131 kapal setiap minggu dengan hanya mengambil masa 1.7 hari untuk setiap kapal berbanding 1.3 hari pada tahun 2017 sebelum dunia dilanda Covid-19 pada 2019.

Katanya, pengoperasian ini lebih cekap dan pantas berbanding negara-negara serantau lain sebagaimana laporan RBC Capital Markets yang menyatakan 77 peratus pelabuhan seluruh dunia memerlukan tempoh masa lebih lama.

“Justeru, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang bekerjasama dengan Pelabuhan Barat (Westport), Pelabuhan Utara (Northport) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM) bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) sehingga beroleh kejayaan walaupun berdepan cabaran sukar akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, sama seperti negara-negara lain, Malaysia tidak terkecuali menerima kesan akibat pandemik Covid-19 yang menjejaskan rantaian bekalan barangan di seluruh dunia.

“Kita terpaksa melaksanakan pelepasan barangan atau pembersihan pelabuhan (port clearance) pada tahun 2020 dan 2021 bagi mengelak kesesakan di pelabuhan seluruh negara terutamanya Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Johor dan Pelabuhan Pulau Pinang.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan pergerakan kenderaan di seluruh negara, MOT serius memastikan pergerakan barangan keperluan kepada rakyat tidak terbantut menerusi kerjasama dengan operator pelabuhan dan agensi yang berkaitan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha itu dapat memberi masa bagi tujuan memindahkan barangan dari kapal untuk disimpan di gudang. Pernah terjadi sebelum ini, kapasiti gudang di Pelabuhan Klang mencecah 88 peratus.

“Pada 12 September 2021, saya telah mengumumkan semua aktiviti penerimaan dan pemunggahan kargo bagi tujuan import dan eksport dibenarkan beroperasi 24 jam 7 hari seminggu dengan keperluan mematuhi SOP ketat ditetapkan MKN.

“Kebenaran ini telah berjaya membantu mengurangkan kesesakan di pelabuhan seluruh negara,” katanya.

Justeru, katanya, menurut laporan Bloomberg yang memetik dapatan RBC Capital Markets, Malaysia tersenarai sebagai antara negara yang menunjukkan kecekapan operasi terbaik dalam mendepani waktu sukar dan mengatasi masalah kesesakan di pelabuhan.

“Saya akan terus memantau dari semasa ke semasa untuk memastikan prestasi cemerlang ini berterusan pada masa akan datang,” katanya. – Malaysiapost

Komen