Pulau Batu Puteh: Seolah-olah mengalah sebelum masuk gelanggang – Sultan Johor

Pulau Batu Puteh: Seolah-olah mengalah sebelum masuk gelanggang – Sultan Johor

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah tindakan mesti diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab jika benar berlaku kecuaian dan kekhilafan dalam tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh.

Baginda mahukan penjelasan disebalik tindakan kerajaan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Tindakan sedemikian seolah-olah mengalah sebelum masuk gelanggang.

“Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil sedangkan kita telah menemui bukti baharu yang berpihak kepada kita? Ini yang menyebabkan saya cukup terkilan,” titahnya dalam kenyataan dikeluarkan Royal Press Office, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah agar tindakan setegas-tegasnya diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab sekiranya berlaku kekhilafan dalam isu berkenaan.

“Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu? Adakah kita negeri anak tiri? Kalau tak suka Johor..Cuba kalau Malaysia kehilangan Pulau Langkawi kepada Thailand, bagaimana rasa orang Kedah agaknya?

“Saya mahu pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri dapat menjelaskan punca kerajaan sewaktu pimpinan Dr Mahathir menarik balik semakan kes berkenaan.

“Ambil tindakan setegas-tegasnya jika benar berlaku kekhilafan. Ini adalah soal kedaulatan kita,” titahnya.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam satu kenyataan telah memaklumkan Kerajaan Negeri Johor memberi jaminan akan bekerjasama dan membantu pasukan petugas khas Kerajaan Persekutuan.

Penubuhan pasukan itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar perundangan antarabangsa berkenaan kes Pulau Batu Puteh. – Malaysiapost

Komen