Saya bukan antivaksin, tapi perlu sedikit masa – Rita Rudaini

Saya bukan antivaksin, tapi perlu sedikit masa – Rita Rudaini

“SAYA bukan menolak vaksin atau antivaksin, sebaliknya memerlukan sedikit masa lagi,” kata pelakon, Rita Rudaini

Rita berkata, dia berpegang kepada prinsipnya untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19 sehingga ia diiktiraf di seluruh dunia.

Memetik laporan Harian Metro, Rita malah mengakui dihentam teruk netizen yang tidak mengetahui sebab dan prinsip dipegangnya dan lebih menyedihkan apabila ia disalah tafsir banyak pihak.

“Suntikan vaksin masih lagi berada dalam ujian klinikal dan uji kaji, malah dalam Parlimen pun tidak memaksa untuk mengambil vaksin. Ia tidak termaktub sebagai sesuatu yang wajib lagi.

“Saya juga tidak mempengaruhi ahli keluarga yang sudah mendapatkan vaksin. Tidak salah untuk mengamalkan pemakanan sunnah untuk menjaga kesihatan, bukan saya amalkan ilmu hitam.

“Terpulang kepada individu sendiri, saya bukan menolak vaksin atau antivakin, sebaliknya memerlukan sedikit masa lagi. Apabila tiba masanya, pasti saya akan mendapatkan vaksin juga.

“Lagipun saya jenis yang gemar duduk di rumah. Saya beli barang keperluan secara dalam talian saja. Sesiapa yang mengenali saya pasti tahu, saya hanya keluar jika ada urusan saja,” katanya.

Berkongsi mengenai sumber pendapatan, Rita bersyukur kerana rezekinya tidak putus biarpun diduga dengan pelbagai tohmahan dan cemuhan.

“Alhamdulillah. Walaupun tidak dibenarkan menjalani penggambaran, rezeki Allah datang daripada pelbagai sudut. Sedangkan ulat dalam batu pun boleh hidup, inikan kita manusia.

“Saya tidak mahu menyusahkan sesiapa, jadi saya bersetuju untuk tidak berlakon buat sementara waktu. Saya kini bergantung kepada perniagaan minyak wangi yang diusahakan dan kini sudah mencapai lebih 40 cawangan di pusat beli-belah AEON.

“Insya-Allah sekiranya dipermudahkan, minyak wangi saya ini bakal berada di 40 hingga 50 cawangan Watson pula. Saya percaya rezeki Allah ada di mana-mana,” katanya. – Malaysiapost

Komen