‘Saya tidak angkuh’ – Zahid

‘Saya tidak angkuh’ – Zahid

KEPUTUSAN Umno menolak kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke- 15 (PRU15) bukanlah suatu keangkuhan.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata kedua-dua keputusan itu dinyatakannya dalam satu wawancara baru-baru ini, kerana berpegang kepada realiti semasa dan berpijak di bumi yang nyata.

Ahmad Zahid menjelaskan beliau tidak pernah melontarkan kata-kata kasar mengenai kedua-dua isu itu seperti mana yang ditulis dalam tajuk berita sebuah portal baru-baru ini.

“Saya tidak pasti mengapa percakapan saya dalam satu wawancara baru-baru ini digarap dengan begitu angkuh sekali.

“Malah dengan gambar wajah saya yang disiarkan pada sudut seolah-olah begitu bengis. InsyaAllah itu bukanlah nilai yang tepat tentang diri saya,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, dalam wawancara itu beliau menjelaskan bahawa beliau perlu menghormati keputusan dan ketetapan Perhimpunan Agung Umno 2020 yang mana parti itu tidak akan berkerjasama dengan Bersatu.

“Seterusnya saya menjawab soalan tentang kedudukan MN andai PRN Melaka berlaku dan saya lontarkan pandangan saya;

“Biarlah Umno bertanding dengan panji-panji Barisan Nasional (BN) secara solo dan InsyaAllah rakyat memilih parti yang terbaik.

“Jawapan-jawapan saya itu bukanlah suatu keangkuhan sebaliknya berpegang kepada realiti semasa dan berpijak di bumi yang nyata,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan, Ahmad Zahid dipetik sebagai berkata, Umno tidak akan bekerjasama dengan PAS melalui pada PRN Melaka.

Beliau berkataUmno akan bertanding di bawah panji BN secara solo dan terpulang kepada rakyat untuk memilih mana-mana parti terbaik. – Malaysiapost

Komen