Sistem rawatan air LRA SSP1 kembali stabil

Sistem rawatan air LRA SSP1 kembali stabil

SISTEM rawatan air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) telah distabilkan pada jam 6 pagi tadi.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan susulan itu, bekalan air telah mula disalurkan ke sistem agihan bekalan air.

“Bekalan kepada para pengguna akan mula disalurkan secara berperingkat pada jam 5 petang, hari ini.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” katanya.

Menurut Air Selangor, kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di LRA SSP1 telah siap dilaksanakan pada jam 5 pagi tadi.

“Sehubungan itu, Air Selangor terus menggerakkan bantuan air alternatif melalui lori tangki ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta untuk upacara pengebumian,” katanya.

Pada 1 Oktober lalu, Air Selangor mengeluarkan notis berhubung henti tugas LRA Sungai Selangor Fasa 1 bagi memudahkan penduduk di kawasan terlibat membuat persediaan termasuk menadah air secukupnya untuk kegunaan tiga hari.

Sejumlah 998 kawasan sekitar Selangor mengalami gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula pada Rabu hingga Sabtu.

Antara kawasan yang disenarai terjejas oleh gangguan bekalan ialah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor. – Malaysiapost

Komen