Syed Saddiq umum penubuhan Kaukus Medical Cannabis

Syed Saddiq umum penubuhan Kaukus Medical Cannabis

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman hari ini mengumumkan penubuhan Kaukus Medical Cannabis yang diwakili Ahli-Ahli Parlimen merentas pelbagai parti.

Beliau berkata kaukus itu ditubuhkan untuk mengkaji kawal selia penggunaan Medical Cannabis dan Ketum serta langkah kurangkan kemudaratan dalam perubatan.

Katanya, Kaukus Medical Cannabis akan bertemu kumpulan pakar kesihatan, penyelidik, pemain industri, NGO berkaitan dan kementerian terlibat bagi mendapatkan pandangan pembentukan dasar.

“Negara lain sudah bergerak jauh ke hadapan dalam perlaksanaan dasar berkaitan Medical Cannabis dan Ketum. Malaysia juga harus mula sahut hal ini. Kita harus melihat perkara ini sekarang,” katanya hari ini.

Syed Saddiq selaku Pengerusi berkata Kaukus Medical Cannabis ini akan dianggotai oleh Ahli-Ahli Parlimen pelbagai parti dari MUDA, Umno, PAS, Warisan, DAP, Amanah, PKR serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Antaranya ialah Datuk Seri Azalina Othman Said (BN- Pengerang), Khalid Abd Samad (Amanah-Shah Alam), Dr Xavier Jayakumar (Bebas- Kuala Langat), Datuk Darell Leiking (Warisan-Penampang).

Selain itu Dr Kelvin Yii Lee Wuen (DAP-Bandar Kuching), Dr Azman Ismail (PKR-Kuala Kedah), Lukanisman Bin Awang Sauni (GPS-Sibuti) dan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas).

Bulan lalu ketika berbahas di Parlimen, Syed Saddiq dilaporkan berkata kerajaan perlu meluluskan segera industri penanaman hem bagi tujuan perubatan (medical marijuana) yang pasarannya dianggar mencecah hingga RM400 bilion dalam empat tahun lagi.

Syed Saddiq berkata perbincangan berdasarkan data dan sains perlu dilakukan supaya Malaysia tidak ketinggalan dalam industri terbabit.

Bekas Menteri Beliau dan Sukan itu berkata, sehingga kini lebih 40 negara sudah melaksanakan industri terbabit termasuk negara jiran, Thailand. – Malaysiapost

Komen