‘Umno lama’ berusia 75 tahun, jadi gerakan untuk negara – Ku Li

‘Umno lama’ berusia 75 tahun, jadi gerakan untuk negara – Ku Li

Nurul Huda Abhar

AHLI Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan bukan sengaja mahu menimbulkan kontroversi atau kejutan dengan menyatakan hasrat untuk menghidupkan semula ‘Umno lama’.

Bagaimanapun, Veteran Umno itu berkata, ia salah satu cadangan yang dibuat anggota Jemaah Penasihat Umno semasa beliau masih memegang jawatan Pengerusi.

Beliau mengumumkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat Umno pada 20 September lalu.

“Pandangan yang dikemukan pada mesyuarat jemaah merupakan cadangan kalaulah keadaan dalam Umno itu tidak begitu menyenangkan, dan tidak mungkin boleh meyakini ahli-ahli supaya kita bersatu semula dengan gagah dan kuat, mengapa tidak kita tengok pada sejarah dan tengok kepada kemungkinan bolehkah kita aktifkan semula ‘Umno lama’.

“’Umno lama’ parti yang sudah berakar umbi. Bukan sahaja sudah menjadi institusi juga telah menjadi gerakan untuk negara bukan sahaja buat orang Melayu kerana tanggungjawab ia lebih daripada itu dan melebar seluruh tanah air bahkan ke luar negara,” katanya semasa webinar bertajuk ‘Umno yang hilang’, hari ini.

Tengku Razaleigh berkata, ‘Umno lama’ sudah memainkan peranan dalam pembentukkan kerajaan selama 75 tahun berbanding dengan Umno sekarang yang baru berusia 33 tahun.

“Umno yang saya maksudkan ini Umno yang ditubuh oleh orang ramai, oleh persatuan. Yang datang berhimpun, membulatkan tenaga dan harapan orang Melayu ketika itu mahu menjaga maruah bangsa dan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Pada 21 September lalu, Tengku Razaleigh menyatakan hasrat untuk menghidupkan semula ‘Umno lama’ dan mengalu-alukan jika ada orang yang berminat menyertainya.

Menurutnya, terdapat rakan-rakannya mahu ‘Umno lama’ yang telah diharamkan dihidupkan kembali.

Sementara itu, Tengku Razaleigh berkata, keadaan politik negara ketika ini tidak dapat ditentukan kerana setiap pihak ada pandangan masing-masing.

Beliau berkata, negara berhadapan dengan krisis politik yang tidak stabil, dan keadaan itu menyukarkan urusan dengan mana-mana pihak yang berhasrat untuk tampil memberi bantuan.

“Keyakinan mereka kepada kita tidak sebegitu oleh kerana kedudukan politik itu sendiri tidak menentu. Oleh itu susah untuk kita meyakinkan bukan sahaja orang luar malah orang dalam pun,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh menjelaskan dalam keadaan politik negara yang tidak stabil, telah berlaku tiga pemerintahan kerajaan yang bertukar dalam masa tiga tahun lebih.

“Kalau ini berterusan keadaan masa depan belum dapat kita tentukan dengan yakin,” katanya. – Malaysiapost

Komen