PRN Melaka: Kerjasama dengan PAS, agihan kerusi belum diputuskan

PRN Melaka: Kerjasama dengan PAS, agihan kerusi belum diputuskan

UMNO akan mengadakan satu lagi mesyuarat bagi memuktamad sama ada parti itu akan mengadakan kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ketika ini tumpuan Umno adalah mengerahkan jenteranya di semua peringkat untuk bersiap sedia berdepan pilihan raya tersebut.

“(Kerjasama MN) Itu kita akan maklumkan kemudian, mula-mula ini kita arahkan jentera semua peringkat buat persiapan rapi.

“Mengenai agihan kerusi dan sebagainya itu tidak diputuskan malam ini… akan ada mesyuarat sekali lagi,” katanya kepada media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi.

Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Baru-baru ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata Umno tidak akan bekerjasama dengan PAS melalui MN pada PRN Melaka.

Sebaliknya beliau menegaskan, Umno akan bertanding solo di bawah panji Barisan Nasional (BN) dan terpulang kepada rakyat untuk memilih mana-mana parti terbaik.

Ditanya sama ada Umno sedia berdepan tentangan tiga penjuru dalam PRN Melaka serta sama ada akan menimbang semula untuk bekerjasama dengan Bersatu, Ahmad berkata kedua-duanya akan diputuskan dalam mesyuarat akan datang.

“Kita tunggu dengan penuh debaran keputusan SPR Isnin ini, apa juga keputusannya, semua jentera mesti buat persiapan rapi.

“Sama ada PRN diadakan dalam tempoh terdekat atau ditangguh, tetap PRN akan diadakan,” katanya.

Ahmad berkata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah membentangkan mengenai situasi semasa di Melaka dalam mesyuarat Biro Politik Umno petang semalam.

Sementara itu beliau berkata mesyuarat MKT juga mengesahkan pengguguran keahlian Umno terhadap Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan yang sebelum itu ahli di Bahagian Tangga Batu, Melaka. – Malaysiapost

Komen