SERAMAI 30 peserta Quick Win anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sabah menerima bantuan kit peralatan masakan berasaskan pastri seperti ketuhar elektrik, mesin pengadun dan meja keluli.
Bantuan disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam satu majlis di Dewan Kampung Petagas, Putatan, hari ini.
Mahdzir berkata, pemilihan peserta Quick Win KEMAS adalah berdasarkan kepada beberapa kriteria seperti kumpulan B40, individu yang telah memulakan perniagaan secara kecil-kecilan serta menunjukkan minat untuk mengembangkan perniagaan.
“Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui KEMAS sentiasa berusaha untuk mencari jalan bagi meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar khususnya bagi mereka yang mempunyai keinginan untuk mencari peluang baru dalam perniagaan perusahaan kecil di rumah seperti membuat kek, pastri dan juga kuih tradisional”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas mengenai bantuan itu, Mahdzir berkata, bantuan kit peralatan itu berdasarkan kepada kursus yang disertai dengan kadar maksimum, peralatan sebanyak RM4,000 bagi setiap peserta.
“Kursus Kemahiran Quick Win menyasarkan kumpulan belia dan beliawanis B40, peserta kelas kemahiran KEMAS, ibu tunggal, suri rumah dan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Ia termasuk bahan pembelajaran sepanjang kursus berlangsung serta kos latihan selama tiga hari secara bersemuka atau lima hari secara atas talian,” katanya.
Mahdzir menjelaskan, program Quick Win mula dilaksanakan oleh KEMAS pada 2017 dan setakat tahun lalu mempunyai seramai 16,293 orang peserta.
“Program Pendidikan Kemahiran KEMAS telah diluluskan dengan sejumlah peruntukan pembangunan bertujuan memberikan latihan dan kursus lima bidang utama iaitu masakan, jahitan, dandanan diri, seni tangan serta pendidikan kesejahteraan keluarga,” katanya.
Mahdzir menambah, tahun ini KEMAS menerima peruntukan berjumlah RM13.2 juta bagi melaksanakan program-program kemahiran.
“Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM2.74 juta adalah peruntukan bagi melaksanakan program Quick Win.
“Walaupun negara kita berhadapan dengan penularan pendemik Covid-19, namun ianya tidak menghalang KEMAS untuk mengadakan kursus secara dalam talian sebagai alternatif,” katanya. – Malaysiapost