Ahmad Faizal: Kerajaan tidak pinggirkan e-sukan

Ahmad Faizal: Kerajaan tidak pinggirkan e-sukan

PEMBANGUNAN e-sukan di Malaysia akan terus diberikan perhatian oleh kerajaan menerusi peruntukan pada Belanjawan 2022 yang dibentangkan pada 29 Oktober ini.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata,  jumlah peruntukan bagi pembangunan sukan berkenaan tidak dapat dipastikan sama ada ianya bertambah atau pun sebaliknya. 

“Seperti semua tahu kerajaan ketika ini memberi fokus kepada penjanaan ekonomi selepas pasca Covid-19 yang mana banyak peluang pekerjaan yang terjejas dan sebagainya tetapi tidak akan meninggalkan perkara baik seperti e-sukan yang perlu kita kembangkan,” katanya ketika sidang media Majlis Penutup Mobile Legend Pro League (MPL) Musim 8 di Petaling Jaya, lapor Cakap Sukan, hari ini. 

Mengulas mengenainya, Ahmad Faizal berkata, Kementerian Belia dan Sukan akan terus memberi sokongan padu terhadap pembangunan e-sukan di negara ini memandangkan ia menjadi ikutan di seluruh dunia ketika ini.

“Kita tidak boleh menghalang perkembangan e-sukan kerana ia berlaku di seluruh dunia bukan saja di Malaysia.

“Kehangatan ini kita perlu pupuk agar peminat sukan ini ke arah perkembangan positif dan bukannya negatif,” katanya. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen