PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membincangkan isu gaji pegawai dan anggota polis dengan kementerian serta agensi berkaitan kerana ia memerlukan kajian lebih menyeluruh.
Beliau berkata, perbincangan itu antara lain melibatkan Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan yakin perbincangan awal berkaitan isu itu sudah berlangsung.
“Ini perlu perbincangan mendalam kerana melibatkan kewangan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau ditemui selepas menghadiri Upacara Pemakaian Pangkat kepada Ketua Polis Daerah Bera, Superitendan Mansor Samsudin yang dinaikkan pangkat daripada Deputi Superitendan di Dewan Sri Kempas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, hari ini.
Ismail Sabri berkata demikian semasa diminta mengulas laporan media baru-baru ini bahawa kadar gaji dan elaun polis terutamanya yang berpangkat rendah menjadi punca polis berhadapan masalah termasuk hutang.
Difahamkan, semakan terakhir gaji polis dibuat pada tahun 2010.
Sementara itu, Ismail Sabri merakamkan penghargaan kepada polis yang cemerlang melaksanakan tugas sebagai pasukan barisan hadapan pandemik Covid-19 tanpa mengira waktu meskipun dalam kesibukan melaksanakan tugas hakiki menjaga keselamatan negara. – Malaysiapost