ENAM kenderaan diarah berpatah balik dan tidak dibenarkan merentas dalam sekatan di Kilometer 9 Lebuh Raya Timur Barat di Sungai Lebey, Gerik kerana tidak lengkap vaksin Covid-19.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pelbagai alasan diberikan antaranya urusan perniagaan, menghantar barang dan melawat ahli keluarga sakit terdapat pemandu atau penumpang kenderaan yang masih tidak lengkap divaksinasi.
“Kenderaan diarah berpatah balik termasuk sebuah lori yang (pemandunya) memberikan alasan untuk menghantar barang namun pemeriksaan dilakukan anggota mendapati penumpang atau kelindan tidak lengkap dua dos vaksin,” katanya dipetik FMT, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata hasil pemantauan pihak polis mendapati keadaan lalu lintas sepanjang jalan berkenaan berjalan dengan lancar dan terkawal serta tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku sejak Jumaat lepas.
“Gambar kesesakanditularka berlaku pada kira-kira pukul 4 petang Jumaat lepas di laluan LRTB Gerik-Jeli menghala ke Kelantan dalam jarak 1.5km tidak berlaku terlalu lama.
“Kesesakan berlaku apabila orang ramai mengambil peluang bercuti panjang dan cuti umum sempena sambutan Maulidur Rasul mulai Jumaat hingga Selasa ini untuk ke Kelantan,” katanya.
Mior Faridalathrash berkata, petugas di sekatan jalan raya di laluan berkenaan turut melakukan pemeriksaan secara teliti kepada pemandu dan penumpang kenderaan yang hendak merentas negeri. – Malaysiapost