SEMUA sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka akan mula dibuka sepenuhnya mulai 8 November ini seiring peralihan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermula esok.
KPM dalam satu kenyataannya hari ini, memaklumkan bagi ketetapan Fasa 3 PPN di Kedah dan Kelantan pula akan bermula pada 31 Oktober, manakala Pulau Pinang, Perak dan Sabah mulai 1 November.
Katanya, perubahan ketetapan pengoperasian itu adalah selaras peralihan Fasa 3 kepada Fasa 4 PPN bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor dan Melaka serta Fasa 2 kepada Fasa 3 PPN bagi Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah yang berkuat kuasa esok.
“Negeri yang beralih ke Fasa 4 PPN akan membabitkan kemasukan murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) sekolah rendah serta murid tingkatan tiga dan empat di sekolah menengah pada 1 November.
“Sementara kehadiran murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) sekolah rendah serta kelas peralihan, tingkatan satu dan dua sekolah menengah pada 8 November, iaitu seminggu selepas negeri berkenaan memulakan pengoperasian berdasarkan ketetapan Fasa 4 PPN,” menurut kenyataan itu.
Menurut KPM, negeri Fasa 3 PPN akan melibatkan kehadiran murid prasekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi.
“Kehadiran turut membabitkan pelajar tingkatan enam Semester 2, Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, International Baccalaureate Diploma serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) dan kelas peperiksaan antarabangsa lain,” katanya.
Sebelum ini, KPM memutuskan, apabila negeri beralih ke fasa PPN yang seterusnya, semua institusi pendidikan di negeri itu hendaklah beroperasi mengikut ketetapan fasa baharu selepas dua minggu daripada tarikh peralihan fasa. – Malaysiapost