PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya jika tiga skuad elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditubuhkan ketika Barisan Nasional (BN) memerintah, kebanyakan jenayah terancang terutama sindiket dadah dapat dibasmi.
Bekas Menteri Dalam Negeri itu berkata, malangnya Pasukan Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) yang ditubuhkannya pada 2014 sudah dibubarkan.
Menurutnya, skuad elit bagi melawan dan melumpuhkan habis-habisan jenayah terancang di Malaysia dengan memburu serta menangkap ‘jerung-jerung’ yang menjadi dalang berbanding menahan ‘ikan bilis’ itu dibubarkan selepas BN tewas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Pilu hati melihat rakaman video seorang ibu tunggal berusia 55 tahun menangis dan merintih selepas dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah syabu seberat 113.9 gram.
“Bukan mahu mempertikaikan keputusan mahkamah, tetapi membaca berita itu menggamit kekecewaan terhadap tindakan ‘kerajaan 22 bulan’ membubarkan tiga skuad elit PDRM selepas mengalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14.
“Saya percaya jika skuad elit ini masih wujud pasti negara dapat membasmi kebanyakan sindiket dadah sekali gus mengelakkan anggota masyarakat dipergunakan menjadi ‘tokan’ akibat keinginan material atau atas desakan hidup,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, pasukan STING ditubuhkan khusus untuk memburu ketua sindiket dadah serta melawan aktiviti penyeludupan dadah antarabangsa dan tempatan.
Namun, kerajaan melalui Menteri Dalam Negeri ketika itu membubarkan unit elit polis terbabit dengan alasan bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan, mengelak pertindihan fungsi dalam jabatan dan mengelak rasa kurang harmoni antara anggota.
“Seperti saya pernah katakan alasan-alasan pembubaran itu dibuat tanpa mengambil kira indeks jenayah membabitkan aktiviti kumpulan jenayah terancang turun mendadak sejak penubuhan skuad elit terbabit.
“Tanpa mengambil kira keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan mereka dan fungsi pasukan polis semakin bertambah.
“Tanpa mengambil kira kegerunan dan ketakutan kumpulan jenayah terancang terhadap ketiga-tiga pasukan elit polis itu,” katanya.
Menurutnya, penubuhan skuad-skuad elit berkenaan bukanlah menafikan sumbangan dan kemampuan pegawai serta anggota polis lain, namun ia untuk memperkasakan lagi usaha melawan jenayah.
“Mereka dianggap sebagai ‘doktor pakar’ dalam bidang tugas mereka menentang jenayah. Mereka terdiri daripada yang terlatih dan terpilih antara yang terbaik daripada yang terbaik dalam pasukan polis.
“Tetapi itulah antara yang telah berlaku selepas kerajaan BN ditewaskan angkara fitnah dan tipu daya. Insya-Allah apabila BN menang PRU-15 dan kembali sebagai teras pentadbiran kerajaan kita tubuhkan semula unit elit ini,” katanya. – Malaysiapost